mytheory23
mytheory
Label
Kalian ke kedai. Kata ibu "Belikan Pampers untuk adik. Beli juga Colgate, Colgate rumah kita dah habis. Milo sekali. Yang dah ada ni nak licin dah."
Kata pakar ekonomi, itulah kuasa branding. Dek kerana terkenalnya suatu jenama, namanya digunakan untuk menggantikan nama sebenar produk tersebut. Minuman coklat semuanya diberi nama Milo, ubat gigi semuanya adalah Colgate.
Saya tak perlu bercakap tentang ini dengan bijak pandai seperti anda semua. Anda dah lama maklum dan jauh lebih tahu daripada saya.
Apa kata branding power ni kita tukarkan?
"Remaja sekarang memang tak patriotik" apabila ditanya sebab-sebab ramai orang tak ingat lagu Negaraku.
"Budak zaman sekarang memang kurang hajar" apabila kes buli meningkat di sekolah-sekolah.
"Orang muda memang tak pernah fikir panjang apabila orang tua runsing tentang anak-anak mereka.
..............
Bagi saya branding jenis ini jauh lebih bahaya, lebih kuat dan lebih tak logik berbanding branding Milo, Colgate atau Pampers.
Adakah mengingati lagu Negaraku lambang semangat patriotisme seseorang? Saya yakin begitu ramai orang-orang dewasa dan tua yang tak tahu lagu Negaraku. Bahkan pejuang-pejuang kemerdekaan tidak tahu lagu Negaraku.
Adakah sifat sayang pada negara hanya terhad pada remaja-remaja? Adakah hanya budak-budak, orang muda saja yang perlu menunjukkan kasih mereka pada negara. Bagaimana dengan mereka yang jauh lebih 'tahu dan berpengalaman', adakah kewajipan itu telah dialihkan?
Kes buli meningkat dan kesalahannya diletakkan pada 'remaja yang semakin kurang hajar'. Bagaimana dengan kes bunuh, rogol dan sumbang mahram yang melampau-lampau? Kesalahannya pada 'orang dewasa yang kurang hajar' tidak pula dinyatakan. Dah jadi salah semua pula.
Dewasa tiket buat apa saja tanpa had? Boleh buat dosa, kerana semuanya dah mampu masuk neraka? Mengelirukan amat.
Bagaimana pula bila seorang dewasa melakukan suatu kesalahan? Adakah mustahil apabila menjadi dewasa, kita melakukan kesalahan? Adakah menjadi dewasa bermaksud perfectionist, sempurna segala sifat, maksum?
........
Pelabelan jenis ini perlu dihentikan. Kekeliruan yang dibuat-buat ini perlu disekat. Nilai sebenar kemanusiaan perlulah diperjelas.
Semua mahu jadi dewasa bukan kerana matangnya pemikiran dan terkawalnya emosi, tapi kerana agungnya 'dewasa' itu. Jadi dewasa ertinya tak perlu minta maaf. Boleh nyatakan apa jua pendapat tanpa hirau pandangan dan perasaan orang. Boleh saja menjadi betul tanpa apa-apa ilmu, logik, malahan boleh saja menjadikan alasan kedewasaan itu untuk membela kesalahan.
Saya bukannya membenci orang dewasa. Saya cuma tidak gemar benar melihat kebodohan dan kejahilan membelenggu diri kita. Saya tak suka benar dilabel-label, hanya kerana saya 'lebih muda' daripada mereka.
Semacam itu tiket untuk menyatakan saya lebih dangkal, lebih bodoh dan wajar akur saja tanpa apa-apa kata.
Kedewasaan sepatutnya lebih meyakinkan. Yakin pada diri ditonjolkan melalui sifat mampu mengaku kesalahan. Berdolak-dalih hanyalah sifat mereka yang tidak matang dan penakut. Yakin pada diri juga dapat dilihat dengan kemampuan memberi kemaafan. Sesiapa sahaja yang dapat berfikir tahu dendam membunuh dan kemaafan menyucikan.
Pelabelan menyebabkan gagalnya manusia melihat kepada nilai individu. Sterotaip membuatkan wajah-wajah manusia jadi serupa. Orang muda memang begitu. Budak-budak macam itulah. Walhal manusia unik dan amatlah berbeza.
Sifat 'aku tahu semua' ni menyebabkan manusia makin malas nak berkenal-kenalan. Kejahatan sangka buruk sentiasa ada pada setiap manusia yang ditemui. Belum sempat berbual sapa, sudah direka-reka faktanya.
Saya ini remaja. Saya ini orang muda. Satu hari nanti saya akan digelar orang dewasa juga walaupun mungkin saya belum layak atas 'label' itu. Doanya saya mewarisi sifat kedewasaan yang benar, bukan sekadar branding power.
1 Comments:
What a great site Blood medicine monitoring pressure veterinary weight loss Sexy dancing woman Roulette gameshow reviews detectors radar
Post a Comment
<< Home